Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera,
Sembah syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan izin-Nya, Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (PEKUMA) berjaya di’hidup’kan kembali setelah mengalami sejarah hitam apabila tersenarai oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni UM sebagai ‘Persatuan Tidak Aktif’ selama dua tahun.
Pada tanggal 15 Februari 2008, tepat jam 4.00 petang, mencatat sejarah penting dalam diari FEP, apabila Mesyuarat Agung Tahunan PEKUMA yang ke-31 telah memilih 4 orang Majlis Tertinggi PEKUMA dengan undi majoriti
Persatuan Ekonomi Universiti Malaya (PEKUMA) yang mula didaftarkan pada tarikh 11/6/1975 merupakan antara persatuan yang paling senior di Uni Perdana ini. Maka, pada tahun ini, genaplah 33 tahun umur persatuan yang telah menjadi platform kepada kelahiran tokoh kewangan, usahawan mahupun ahli politik yang menerajui institusi kewangan dan kepimpinan negara pada hari ini.
Untuk merealisasikan misi dan visi persatuan, pelbagai agenda dan aktiviti telah diatur oleh Exco PEKUMA bagi sesi 2008/09 ini. Antaranya, I-Week 08, Lawatan Ekonomi, Debat Perdana Ekonomi, SIFE Project, MIKON ‘08 dan kemuncaknya ialah program ASEAN Economics & Business Student Summit yang direncana pada Mac 2009.
Dengan dukungan penuh daripada pihak fakulti di bawah naungan Prof Norma bt Mansor, dibantu oleh penasihat persatuan, Encik Yusoff Sanusi dan Dr Lau Wee Yeap, dan digerakkan oleh jentera exco PEKUMA yang komited dan berdedikasi, serta komitmen dan sokongan padu daripada anda semua, mahasiswa/i FEP sekalian, dengan izin-Nya, pasti kita akan mampu merealisasikan setiap program yang diatur dengan jayanya, seterusnya menempatkan PEKUMA kembali setara dengan persatuan-persatuan fakulti yang lain.
Salam Perjuangan, Salam Hormat dari saya
Presiden PEKUMA 2008/09,
Ibrahim Haji Yaacob