Posted by: pekuma | June 21, 2008

Basmi Kemiskinan: Yang Di Atas Dan Di Bawah Perlu Selari.

Dengan bangganya saya mengucapkan jutaan tahniah kepada Prof. Madya Dr. Sulochana Nair, Pengarah Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan Universiti Malaya di atas kesungguhan beliau dan seluruh organisasi dalam melaksanakan kajian terhadap isu kemiskinan dan pembangunan di Malaysia. Kami mahasiswa menyambut baik kewujudan organisasi ini.

Kemiskinan sememangnya menjadi isu penting terutama kepada negara yang sedang membangun seperti Malaysia. Jurang kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia semakin menjadi-jadi. Daripada statistik keseluruhan, jurang kemiskinan bagi Bumiputra ialah 2.1 peratus berbanding Cina (0.1) dan India (0.6). Suatu angka yang mencabar bagi kepimpinan negara untuk diselesaikan.

Kita lihat pula perbandingan dengan negara luar. Ketika ini pendapatan per kapita rakyat Malaysia ialah AS$6,146 setahun. Pada detik yang sama, pendapatan per kapita rakyat Singapura adalah AS$34,152 (Sumber IMF 2007), lima kali ganda dari pendapatan perkapita rakyat Malaysia. Padahal, jika kita lihat kembali pada akhir tahun 1970-an pendapatan rakyat kedua-dua negara adalah lebih kurang sama.

Sekarang kita banding pendapatan rakyat Malaysia hari ini dengan pendapatan rakyat Korea Selatan dan Taiwan berikutan ada suara-suara sayup menjawab kita tidak boleh membandingkan Malaysia dengan Singapura kerana repuklik tersebut hanya sebuah pulau kecil yang penduduknya hanya 4 juta. Penduduk Korea Selatan sekarang adalah 48 juta manakala Taiwan adalah 23 juta. Pada tahun 1970-an, rakyat kedua-dua negara adalah lebih miskin dari rakyat Malaysia. Tetapi pada hari ini pendapatan perkapita rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000) manakala Taiwan pula adalah AS$15,271 (RM52,700), iaitu dua hingga tiga kali ganda pendapatan rakyat Malaysia. Di mana silapnya?

Saya menghargai usaha pihak kerajaan sekarang yang bertungkus-lumus melaksanakan pelbagai projek dalam usaha membasmi kemiskinan antaranya Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, Wilayah Koridor Ekonomi Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dan yang terbaru Koridor Pembangunan Sabah (SDC). Sekalung tahniah atas usaha ini.

Bukan niat saya ingin membawa unsur politik dalam artikel ini, tetapi saya amat tertarik dengan manifesto parti pembangkang berkenaan menjadikan Malaysia sebagai negara kebajikan. Kita ketepikan sebentar bahang politik. Boleh jadi manifesto ini hanya omong kosong pihak pembangkang ataupun sesuatu yang akan dikotakan. Tetapi cuba kita tekankan kepada idea yang ingin dibawa.

Kita melihat bagaimana kerajaan Kelantan ditadbir dengan menyediakan pelbagai elaun dan bantuan kepada rakyat. Antaranya Skim Armalah dan Anak Yatim, Skim Bantuan Segera Bencana, Skim Ladang Rakyat dan yang agak menarik ialah Skim Pinjaman Perumahan, Kenderaan dan Komputer tanpa dikenakan faedah bagi kakitangan kerajaan. Gerak kerja yang mantap dalam usaha menbasmi kemiskinan di Kelantan. Sememangnya ada pro dan kontra dalam usaha ini namun segalanya perlu dilihat dari sudut kesan kepada ekonomi secara kolektif.

Terima kasih kepada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang yang begitu komited dalam usaha membasmi kemiskinan. Kami sebagai mahasiswa menaruh harapan semoga dengan projek-projek yang dilancarkan dan manifesto yang dijanjikan, rakyat tidak dibelakangkan. Semuanya perlulah berorientasikan kepentingan rakyat. Segala usaha yang dijalankan perlulah dipacu oleh hati yang ikhlas untuk mengubah nasib rakyat.

Dalam membasmi kemiskinan dan mengubah struktur ekonomi Malaysia, golongan atasan dan bawahan perlu seiring. Pemimpin dan rakyat perlu sama-sama bertekad untuk mengubah keadaan. Kalau yang di atas ingin mengubah tetapi yang dibawah belum bersedia untuk berubah, tidak ada apa pun akan berlaku. Perkara yang sama terjadi apabila yang dibawah berhempas-pulas ingin berubah, tetapi yang diatas tak membantu untuk perubahan. Keadaan tetap sama.

Jadi kita sama-sama betulkan keadaan. Semoga wujud keberkesanan dalam mengubah nasib Malaysia. Sama-sama kita raikan kritikan membina dalam membentuk ekonomi Malaysia. Bersatu-padu kita gerakkan posisi masing-masing demi mencapai ekonomi yang lebih cemerlang. Semoga kita dapat membentuk suatu sinergi yang lebih utuh dalam memacu ekonomi Malaysia.

Ahmad Fahmi B. Mohd Salleh

Bendahari Agung

Persatuan Ekonomi Unversiti Malaya (PEKUMA)

Sesi 2008/2009


Leave a response

Your response:

Categories